Buka mata, buka hati, selami diri sendiri, banyaklah bertanya untuk mengungkai segala persoalan... justeru anda akan dapat seribu jawapan...

Hati berkata-kata...

  • Posted: Friday, October 22, 2010
  • |
  • Author: Mun'aim

Hadirnya saat aku memerlukan. Sungguh terharu untuk diluahkan, namun menjadi resam hidupku untuk melontarkan segalanya yang berlaku. Mencari sinar baru dalam penghidupan sememangnya perit untuk diterokai.

Kisah hidup bagaikan sembilu, terhiris dan terguris itu menjadi santapan. Namun kita tidak berupaya mengapai segalanya dalam hidup. Penyesalan sering kali berombak di dada, mahu pulang ke zaman silam. Kenangan bersama rakan taulan menjadi hiburan disaat kita kesunyian.

Acap kali diri merasakan tidak dipedulikan, seperti bergerak sendiri namun dihati tetap menyatakan bahawa dia mengambil tahu segala perihal yang berlaku. Adakah hati kita jujur tentang apa yang difikirkan oleh si dia? Atau kita sengaja membuatkan diri kita tenang dengan ucapan hati itu pada kita?

Persoalan ini sering membelenggu diri, siapakah yang harus aku cari? Allah atau manusia? Jika pengharapan sudah diserahkan kepada Sang Pencipta, mengapa masih lagi persoalan itu timbul pada diri. Mengapakah manusia itu tidak memahami isi yang ada dihati ini? Perlukah isi ini dikeluarkan? Adakah dia dapat menerima jika kita menyatakannya?

Diri mana yang tidak mahu dimanja? Diri mana yang tidak mahu perhatian? Kadang-kadang kita menidakkan sesuatu kerana ingin menjaga hatinya, tetapi hati sendiri yang tertekan kerana mengharapkan hati yang satu lagi itu memahami kehendak hati ini.

Mudahkah kita menjaga hati orang lain? Bagaimana mudahkah ia? Ucapan teks sms dikirim bagi menenangkan jiwa, namun tidak membawa apa-apa makna. Kita hidup dikelilingi manusia dan segala yang berlaku antara manusia harus diselesaikan bersama manusia. Jika penyelesaian yang kita cari itu menemui jalan buntu, maka barulah kita memohon belas ihsan dari Allah. Berusaha, berdoa dan tawakal menjadi budaya.

Hati menjadi tenang semula apabila berkomunikasi dengan Sang Pencipta. Kerana dia hadir atas kehendakNya dan dia pergi pun atas kehendakNya. Namun kenangan bersama tidak pernah luput dari ingatan kerana silaturrahim tidak boleh dipisahkan. Walau apa pun yang terjadi sehingga saat engkau tiada disisi, namun jiwa ini dan hati ini tetap mengingati dan berdoa.

Apa yang dibicarakan diatas adalah tentang soal hati dimana jalan yang terbaik bagi menjaga hati adalah kita sebagai manusia haruslah memahami isi hati orang lain (bukan semua, kerana kita ini kerdil untuk melaksanakan tugas itu, maka selayaknya untuk orang yang kita sayang dan rapat dengan kita sahaja perlu diberi perhatian), bertanyakan jika kita pernah mengguriskan hatinya. Dan sebagai menjaga hati sendiri, maka selayaknya adalah berhubung dengan Allah.

Dan ingatlah seperkara bagi kalian yang membaca, jagalah hati saudara-saudara kita yang bersama-sama kita, kerana kita akan merasa menyesal jika dia pergi meninggalkan kita suatu hari nanti. Kita ini hidup sementara saja didunia ini, maka layanlah mereka dengan sebaik-baiknya. Jangan membuat hubungan baru jikalau hubungan lama kita tidak sempurna.

Jika kita memulakan hubungan itu dengan cara yang baik maka kita perjalankan dan akhirinya dengan cara yang lebih baik. Sentiasalah berdoa semoga perhubungan yang terbina itu dirahmati olehNya. Jika inginkan umur yang panjang (saat kita mati dan pahala sentiasa dikirim buat diri kita), maka jagalah silaturrahim itu walaupun hubungan itu dilanda badai. Dan ingatlah pada setiap perkara yang kita lakukan, ingatilah mati.